KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyelaras dan menambah baik Skim Biasiswa Unified Examination Certificate (UEC) bagi membantu lebih ramai pelajar cemerlang sekolah persendirian Cina melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pelajar berkelayakan mendapat peluang pendidikan tinggi yang lebih luas.
Katanya, kerajaan negeri amat menitikberatkan akses pendidikan tinggi untuk semua pelajar, termasuk pelajar UEC.
“Dengan skim biasiswa ini, kita berharap lebih ramai pelajar cemerlang daripada sekolah persendirian Cina dapat melanjutkan pengajian tanpa halangan kewangan dan terus bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Usaha itu turut memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi sokongan kepada pelajar sekolah persendirian Cina di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Sekolah-sekolah Persendirian Cina Sabah (Sabah Dong Zong) yang diketuai pengerusinya, Datuk Au Kam Wah di pejabatnya, baru-baru ini.
Pertemuan berkenaan membincangkan mekanisme permohonan Skim Biasiswa UEC, piawaian penilaian serta langkah sokongan bagi memperkukuh akses pelajar sekolah persendirian Cina Sabah ke institusi pengajian tinggi.
Guru Besar S.M. Tshung Tsin Sabah, Dr Chung Chin Hing memaklumkan calon sekolah persendirian Cina di Sabah mencatat kadar kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melebihi 90 peratus secara konsisten sepanjang sedekad lalu.
Menurutnya, sekolah persendirian Cina di Sabah mempunyai keunikan apabila pelajar diwajibkan menduduki peperiksaan SPM sebelum mengambil UEC.
“Ia sekali gus membolehkan mereka memperoleh kelayakan berganda yang meningkatkan daya saing dalam pengajian tinggi dan pasaran pekerjaan,” katanya
Sementara itu, Au merakamkan penghargaan atas komitmen kerajaan negeri serta menyatakan kesediaan pihaknya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memajukan pendidikan sekolah persendirian Cina di Sabah.
