Pembukaan resort baharu di Kuala Penyu selaras hala tuju SMJ 2.0 – Masidi

KOTA KINABALU: Perancangan pembukaan resort Club Med Borneo di Kuala Penyu disifatkan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pembangunan ekonomi mampan serta pemerkasaan modal insan di negeri ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pelaburan dalam sektor pelancongan itu dilihat mampu mampu merancakkan ekonomi setempat di daerah berkenaan.

Katanya, perancangan itu juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, sekali gus meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam industri strategik negeri.

“Pembukaan resort bertaraf antarabangsa itu dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi di Kuala Penyu, termasuk menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kakitangan yang diambil bekerja turut akan diberikan latihan kemahiran secara bertauliah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta kebolehpasaran tenaga kerja tempatan dalam industri pelancongan dan hospitality,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat wakil Club Med dan Golden Sands Beach Resort City di pejabatnya, di sini, semalam.

Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Club Med Asia, Rachael Harding serta Pengarah Urusan Golden Sands Resort City, Peter Wong Leong Siang mengenai perancangan pembukaan resort baharu berkenaan yang dijadual mula beroperasi September ini.

Masidi turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong pelaburan berkualiti yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan mampan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama