KOTA KINABALU: Projek pengubahsuaian tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melibatkan kos RM11.8 juta dan merangkumi 26 kemudahan tandas dengan 196 bilik di seluruh terminal kini dijalankan secara berperingkat bagi memastikan operasi lapangan terbang tidak terganggu.
Malaysia Airport dalam satu kenyataan berkata, kerja pengubahsuaian itu melibatkan 25 tandas untuk Orang Kurang Upaya (OKU), empat bilik penjagaan bayi serta bilik simpanan peralatan pembersihan.
“Skop kerja termasuk pembongkaran sepenuhnya dan penggantian sistem paip dan sanitasi, penambahbaikan kalis air dan saliran, naik taraf mekanikal dan elektrikal, serta pemasangan kelengkapan yang sesuai untuk penggunaan berintensiti tinggi,” katanya dalam satu kenyaaan, pada Jumaat.
Katanya, kerja dijalankan secara berperingkat dalam terminal yang masih beroperasi, dengan zon kerja dikawal dan penyelarasan rapi bersama pihak pengurusan lapangan terbang bagi memastikan kemudahan terus tersedia kepada penumpang.
“Naik taraf ini sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan KKIA kekal selamat, berfungsi dengan baik dan sesuai dengan keperluan, selain menyokong permintaan penumpang yang berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, kerja naik taraf kemudahan tandas di KKIA itu dilaksanakan bagi menangani isu infrastruktur di terminal yang telah beroperasi lebih dua dekad dan melayani jutaan penumpang setiap tahun.
“Kemudahan ini digunakan secara intensif dan berterusan, justeru memerlukan pembaharuan menyeluruh bagi memenuhi piawaian semasa operasi, kebersihan dan kebolehcapaian seperti yang diharapkan daripada sebuah lapangan terbang antarabangsa” tambahnya.
Fasa pertama projek telah siap pada Mac 2025, manakala fasa kedua dijadualkan siap pada April tahun ini.
