Sabah bakal miliki kompleks mini NRES bernilai RM80.9 juta

KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki Kompleks Mini Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pertama selepas 32 tahun menunggu, menerusi projek pembinaan bernilai RM80.9 juta yang dijangka siap pada awal tahun 2029.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata projek yang dibina di atas keluasan 6.77 ekar itu akan menempatkan koperasi jabatan-jabatan yang sebelum ini beroperasi secara berasingan di Kota Kinabalu dan Penampang.

“Kompleks itu akan menempatkan empat jabatan utama di bawah kementeriannya, iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pejabat Topografi Wilayah Kota Kinabalu JUPEM Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Sabah (JKPTG) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Sebelum ini, kebanyakan pejabat ini masih menyewa di kompleks sekitar Kota Kinabalu. 

“Jadi, dengan adanya kompleks ini, kita akhirnya mempunyai aset dan bangunan sendiri yang akan meningkatkan kecekapan pengurusan serta memudahkan urusan jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Mini NRES Sabah, di sini, hari ini. 

Menurutnya, kontraktor pelaksana, Blackfox Engineering Sdn Bhd, telah memasuki tapak projek sejak hujung tahun lalu.

“Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 40 bulan dan siap pada tahun 2029,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa kompleks berkenaan akan dibina dengan elemen kehijauan selari dasar kerajaan untuk meningkatkan amalan bangunan hijau dalam industri pembinaan. 

“Kompleks itu akan dilengkapi Dewan Serbaguna yang boleh dikongsi bersama, makmal JMG, gudang serta pejabat pengurusan MetMalaysia.

“Lokasi kompleks ini juga sangat sesuai kerana berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),”tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama