NABAWAN: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia selepas terjatuh ke sungai ketika melakukan aktiviti rafting di Kabulongou Earth, Sepulut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, Ramli Mayakin berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.
Katanya, sepasukan 12 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 53 kilometer dari balai.
“Pasukan berdepan kesukaran untuk ke lokasi kejadian berikutan laluan sempit dan jalan tidak berturap, namun operasi diteruskan sebaik jentera tiba pada jam 2.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke sungai ketika menjalankan aktiviti rafting sebelum ditemui orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam sungai sebelum pemeriksaan dilakukan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Rudy berkata, operasi membabitkan bantuan agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.
