RM15 juta skop pembaikan kekal atasi masalah Jalan Tebobon - Tuaran

 

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR Sabah) sedang menyediakan skop pembaikan kekal bernilai anggaran RM15 juta bagi mengatasi masalah kerosakan jalan yang kerap berlaku di laluan Jalan Tebobon - Tuaran, khususnya di kawasan Sinaway.

JKR Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kerosakan di laluan berkenaan berpunca daripada keadaan tanah asas (subgrade) yang lembut serta sistem perparitan yang tidak sempurna, menyebabkan permukaan jalan mudah mendap, terutama ketika hujan lebat.

Menurut kenyataan itu, tindakan penyelenggaraan segera sudah diarahkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, sementara perancangan pembaikan jangka panjang sedang dimuktamadkan.

“Skop pembaikan kekal yang sedang disediakan melibatkan keseluruhan laluan Jalan Tebobon - Tuaran, bermula dari kawasan Sinaway hingga ke Petronas Tebobon, dengan anggaran kos RM15 juta,” menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, JKR Sabah turut memaklumkan tindakan pembaikan sementara telah dan sedang dilaksanakan di laluan Sandakan - Kinabatangan susulan kerosakan jalan yang tular sebelum ini.

Kerja pembaikan secara heavy patching dilaksanakan bagi menutup lubang dan kerosakan teruk demi keselamatan pengguna jalan raya, dengan kerja berkenaan dilaksanakan oleh kontraktor di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Setakat ini, laluan dari Bulatan Sukau hingga Kampung Jaya Baru telah siap dibaiki, manakala kerja pembaikan di lokasi seterusnya masih giat dijalankan.

JKR Sabah menegaskan komitmen jabatan itu untuk melaksanakan kerja pembaikan yang berkualiti, selamat dan berdaya tahan, selaras dengan piawaian teknikal yang ditetapkan, bagi mengelakkan masalah sama berulang pada masa hadapan.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda keselamatan serta merancang perjalanan dengan lebih cermat ketika melalui kawasan terbabit.

JKR Sabah turut menghargai kesabaran dan kerjasama orang awam serta memberi jaminan bahawa maklumat terkini berkaitan pelaksanaan kerja pembaikan akan terus disalurkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama