KOTA KINABALU: Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) menyambut baik pelantikan Datuk Ir. Shahelmey Yahya sebagai Pengerusi baharu bertaraf Menteri yang berkuat kuasa bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli berkata, Shahelmy turut menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh, pemantauan prestasi korporat yang berkesan serta pengurusan bersepadu terhadap SOGDC dan anak-anak syarikatnya.
“Beliau berhasrat untuk memperkukuh strategi pelaburan syarikat dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan strategik yang mampan, di samping memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan secara teratur dan menepati objektif yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja SOGDC menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama secara profesional serta menyokong kepimpinan pengerusi baharu itu.
“Dalam melaksanakan agenda korporat dan dasar strategik syarikat, SOGDC yakin kepimpinan baharu ini akan terus memperkukuh peranan syarikat sebagai entiti strategik negeri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sabah melalui pendekatan yang mampan dan berimpak tinggi,” jelasnya.
