Penyambungan silang paip langkah mitigasi segera tangani isu air Kinarut, Kawang

PAPAR: Langkah mitigasi serta-merta dilaksanakan bagi menangani gangguan serius bekalan air yang berlarutan di Mukim Kinarut dan Kawang, susulan kerja penyambungan silang (inter-connection) antara rangkaian paip Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan rangkaian paip tangki utama di Kawang.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerja penyambungan silang paip dari tangki utama P1 LRA Kogopon terus ke tangki utama P3 di Kawang itu adalah hasil keputusan mesyuarat khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, bagi membincangkan isu gangguan bekalan air yang semakin kritikal sejak penghujung Disember 2025.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil sebagai penyelesaian jangka pendek sementara menunggu siapnya Projek Naik Taraf LRA Kogopon 2 yang dijangka siap pada suku keempat 2026.

“Penyambungan silang ini membolehkan jarak pembekalan air dipendekkan daripada 33 kilometer kepada 10.3 kilometer, sekali gus meningkatkan kecekapan agihan air ke Mukim Kinarut dan Kawang yang terjejas teruk sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau status kemajuan kerja-kerja berkenaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang dan Limbahau, Pegawai Daerah, Jurutera Air Papar serta pihak kontraktor pelaksana.

Armizan berkata, mengambil kira Projek Kogopon 2 yang masih berjalan serta gangguan bekalan air yang semakin serius, mesyuarat khas berkenaan turut memutuskan supaya kapasiti rawatan air LRA Kogopon sedia ada yang berkapasiti 40 juta liter sehari (JLH) ditingkatkan secara sementara sebanyak 10 peratus, iaitu sekitar 3.5 hingga 4 JLH.

“Kapasiti tambahan ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 sebagai bekalan tambahan bagi menampung keperluan kritikal penduduk di Mukim Kinarut dan Kawang,” katanya. 

Menurut beliau, antara kerja utama yang dilaksanakan bagi merealisasikan langkah mitigasi itu termasuk penyambungan silang rangkaian paip sedia ada di dua lokasi, penggantian injap di bahagian pengambilan air LRA Kogopon serta penggantian pam air di loji sedia ada.

“Kerja-kerja di lapangan telah bermula pada 9 Januari lalu dan dilaksanakan secara berterusan 24 jam sehari, kecuali ketika hujan lebat. 

"Keseluruhan proses ini disasarkan siap sepenuhnya pada 24 Januari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Armizan memaklumkan proses penggantian injap akan memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari ini, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.

Beliau berkata, sebarang gangguan bekalan air yang melibatkan beberapa kawasan dalam daerah Papar sepanjang tempoh penutupan sementara itu akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah dalam masa terdekat.

“Kita berharap dengan pelaksanaan langkah mitigasi serta-merta ini, gangguan bekalan air serius di Mukim Kinarut dan Kawang dapat ditangani. 

"Ia sekali gus mengurangkan masalah catuan yang telah lama dihadapi penduduk setempat sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama