Motif wang dipercayai menjadi punca lelaki ugut sebar gambar peribadi wanita

Suspek lelaki warga asing berjaya diberkas kurang 24 jam selepas disyaki melakukan ugutan terhadap seorang wanita.

TAWAU: Motif wang dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga asing mengugut untuk menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas kurang 24 jam selepas laporan dibuat oleh mangsa berusia 20-an.

Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan mangsa yang diterima kira-kira jam 10.35 pagi.

Menurutnya, mangsa mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon dengan ancaman akan memviralkan video dan gambar peribadi sekiranya tidak menyerahkan sejumlah wang.

“Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu serta merosakkan keharmonian rumah tangga mangsa.

“Disebabkan takut bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa memberikan sejumlah wang kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Jasmin berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai menahan suspek kira-kira jam 5.45 petang di kawasan berhampiran Gerai Kampung Merotai Besar.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua unit telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang yang dipercayai digunakan semasa melakukan ugutan berkenaan.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama