Rakyat Sabah tolak UMNO kerana dilihat gagal bela kepentingan mereka - Tok Mat

KUALA LUMPUR: UMNO perlu jujur bermuhasabah dan berani menerima hakikat pahit apabila rakyat Sabah menolak parti itu kerana dilihat gagal memperjuangkan kepentingan serta isu sebenar rakyat negeri berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan atau Tok Mat berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU Sabah) baru-baru ini bukan sekadar kekalahan biasa, sebaliknya satu isyarat jelas penolakan rakyat terhadap UMNO dan parti-parti dari Semenanjung.

Katanya, UMNO hanya memenangi enam kerusi daripada puluhan yang ditandingi, satu keputusan yang tidak boleh dibanggakan memandangkan Sabah suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat parti itu.

“Kalau kita jujur dengan diri sendiri, rakyat Sabah sudah menolak kita. UMNO tidak lagi dilihat ampuh, tidak kedengaran kuat dalam memperjuangkan nasib dan kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Menurutnya, penolakan itu turut melibatkan parti-parti kerajaan Perpaduan dari Semenanjung apabila DAP gagal memenangi sebarang kerusi manakala PKR hanya memperoleh satu kerusi, sekali gus menunjukkan rakyat Sabah lebih cenderung kepada parti tempatan.

Menurutnya, UMNO terlalu terikat dengan isu nasional sehingga gagal memberi penekanan tegas terhadap isu khusus Sabah, selain tidak peka terhadap perubahan sentimen politik rakyat di negeri itu.

“Orang Sabah memilih parti lokal yang lebih serasi dengan mereka. Ini bukti masih banyak isu yang kita gagal urus dengan baik. Sebab itu kita dihukum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO perlu menerima keputusan rakyat dengan berlapang dada dan segera melakukan penambahbaikan menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan, khususnya di Sabah.

“Parti belum pulih. Banyak yang perlu kita baiki dan kemaskan jika mahu UMNO kembali relevan serta dipercayai rakyat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama