KOTA KINABALU: Seramai 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Ops Mahir dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, sebagai usaha berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah memperhebatkan penguatkuasaan.
Menurut JIM Sabah, operasi itu diketuai Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu dengan melibatkan seramai 21 orang pegawai.
Tumpuan utama operasi adalah premis makanan, perniagaan dan sektor perkhidmatan yang disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Sepanjang operasi, enam premis telah diperiksa membabitkan seramai 37 individu dan daripada jumlah itu, 17 PATI ditahan, terdiri daripada lima lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa.
Pecahan warganegara menunjukkan 16 orang berasal dari Filipina, manakala seorang perempuan dewasa merupakan warganegara Indonesia.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk dokumentasi, siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
JIM Sabah menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan dan menyeluruh bagi membanteras kehadiran PATI, mengelakkan penyalahgunaan permit, serta memastikan majikan mematuhi peraturan imigresen.
Orang awam dan majikan turut diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

