Kerjasama erat Persekutuan, Negeri penting tangani isu sekolah daif di Sabah - James Ratib

KOTA KINABALU: Isu sekolah daif akan diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan akses pendidikan yang lebih canggih dan selesa kepada pelajar di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata perkara itu menjadi fokus utama kementeriannya, khususnya melibatkan sekolah-sekolah di pedalaman yang masih ketinggalan dari segi prasarana.

“Berkaitan isu sekolah daif, khususnya di kawasan luar bandar seperti di Lanjun, Kudat, perkara ini akan saya teliti secara menyeluruh untuk tindakan segera dan saya juga akan memaklumkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan mengenai masalah sebenar yang dihadapi. 

“Seperti yang sedia maklum, Sabah masih ketinggalan dari segi prasarana, terutama melibatkan sekolah-sekolah di luar bandar, dan perkara ini akan saya beri perhatian serius.

“Lebih 300 sekolah daif dan kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar yang memerlukan tindakan segera serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kementerian kepada semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. 

Beliau berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan penaiktarafan sekolah daif agar dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dalam tempoh yang singkat.

“Skala enam lebih cepat dilaksanakan, jadi kita akan perbanyakkan pendekatan ini terlebih dahulu bagi memastikan sekolah-sekolah daif dapat dinaik taraf dalam masa terdekat,” jelasnya. 

James turut menegaskan kepentingan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu prasarana pendidikan di Sabah.

“Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kerjasama Persekutuan–Negeri amat penting supaya segala permasalahan berkaitan sekolah daif di Sabah dapat diselesaikan bersama,” tambahnya. 

Mengimbas pengalaman beliau ketika menerajui Kementerian Kesihatan Sabah sebelum ini, James berkata pendekatan sama telah berjaya dilaksanakan apabila hampir 100 klinik daif berjaya dinaik taraf dalam tempoh dua tahun.

“Saya yakin dengan pendekatan dan kerjasama yang betul, isu sekolah daif di Sabah juga dapat ditangani secara berperingkat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama