Polis tumpas aktiviti proses air ketum di Kota Belud

KOTA BELUD: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 38 botol air rebusan daun ketum bernilai RM950 dalam satu operasi di Kampung Keguraan, di sini, semalm. 

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Kota Belud hasil maklumat orang awam menerusi Hotline NCID.

Menurutnya, suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah rumah sebelum pemeriksaan lanjut menemukan air ketum selain peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti memproses bahan berkenaan.

“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Semua barang rampasan bersama suspek dibawa ke BSJND IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrudin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang di daerah itu.

“Polis Diraja Malaysia komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti berkaitan dadah dan bahan terlarang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama