Kerajaan Persekutuan digesa gugur rayuan hak 40 peratus Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa menggugurkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan hak 40 peratus Sabah dan melaksanakan sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu penting bagi menghapuskan rasa sangsi rakyat Sabah terhadap keikhlasan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati hak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, rakyat Sabah tidak pernah mempertikaikan hak istimewa negeri-negeri lain, sebaliknya hanya menuntut hak yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah.

“Rakyat Sabah hanya mahu hak mereka dihormati dan dilaksanakan. Jika hak setiap negeri dilaksanakan secara adil, perpaduan dan keutuhan negara Malaysia dapat dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong pada sidang Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Ewon turut meminta penjelasan berhubung status beberapa perkara berkaitan MA63 yang dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.

Katanya, ia termasuklah royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah, hak negeri ke atas pelantar benua serta duti setem berkaitan urus niaga tanah di Sabah dan Sarawak. 

Beliau turut mempersoalkan bila jawatankuasa berkenaan akan bersidang bagi memuktamadkan perkara-perkara tersebut.

Selain itu, Ewon menyatakan sokongan terhadap agenda reform nasional termasuk penyasaran semula subsidi, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, penggubalan undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan undang-undang lapuk serta pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.

Bagaimanapun katanya, agenda reform berkenaan perlu merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan penuh MA63.

Menyentuh aspek ekonomi, beliau menegaskan Sabah adalah wilayah strategik di rantau Asia Pasifik dan memerlukan sokongan lebih menyeluruh bagi menarik pelaburan, termasuk melalui inisiatif BIMP-EAGA.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai insentif pelaburan bagi menyokong Ekonomi Biru Sabah, pembangunan taman perindustrian, cadangan pewujudan zon ekonomi khas, pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu atau Kota Kinabalu, pengembangan industri hiliran minyak sawit, pembangunan bersama Indonesia di Laut Sulawesi serta cadangan mengembalikan status bebas cukai Labuan.

Menurutnya, Sabah sekian lama menyumbang kepada hasil Persekutuan melalui sumber petroleum dan pelaksanaan semula hak 40 peratus amat penting bagi membiayai pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan, kebajikan rakyat, biasiswa, peluang pekerjaan serta peluasan perkhidmatan awam.

“Di kawasan Parlimen Penampang sendiri, keperluan projek tebatan banjir, pembaikan jalan raya dan utiliti, serta pembinaan hospital dan sekolah memerlukan peruntukan besar.

“Rakyat Sabah telah bersuara dan akan terus bersuara. Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan wujud negara Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama