Biar mahkamah putuskan soal tafsiran MA63 isu minyak, gas – Pemuda Gagasan Rakyat


KOTA KINABALU: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran perlembagaan serta semangat pembentukan Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Barhul Sahibu, berkata pendirian itu menimbulkan tanda tanya sama ada ia merupakan sikap rasmi Kerajaan Persekutuan bahawa sumber minyak dan gas langsung tidak termasuk dalam kerangka hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Menurutnya, jika itu pendirian sebenar, ia perlu dinyatakan secara jelas dan konsisten memandangkan MA63 selama ini sering dirujuk sebagai asas tuntutan hak negeri, termasuk berkaitan sumber dan hasil.

“Walaupun MA63 mungkin tidak menyebut secara literal mengenai petroleum, ia tidak boleh ditafsir secara sempit.

"MA63 adalah dokumen asas pembentukan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya menafikan atau menghakis semangat, hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.

Katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan berpegang bahawa isu minyak dan gas sepenuhnya di luar ruang lingkup MA63 dan tertakluk mutlak kepada undang-undang Persekutuan, maka jalan terbaik serta paling berprinsip adalah membiarkan perkara itu diputuskan secara muktamad oleh mahkamah.

“Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menyarankan Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membawa isu tafsiran MA63 berkaitan minyak dan gas ke mahkamah supaya ia dapat ditentukan secara sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan,” katanya.

Barhul berkata, isu berkenaan bukan soal emosi atau retorik politik, sebaliknya membabitkan hak perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keadilan kepada Sabah.

“Kepastian undang-undang amat penting demi memastikan hubungan Persekutuan-Negeri yang sihat, stabil dan berasaskan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama