KOTA KINABALU: Cubaan sindiket dadah menyeludup 39.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.26 juta ke Sabah dengan menyembunyikannya di dalam papan pemotong sayur berjaya dirampas pihak polis dalam satu serbuan di Taman Dongongon, Penampang.
Serbuan dijalankan kira-kira jam 11.30 malam pada Selasa lalu hasil risikan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun ditahan ketika berada di dalam rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan JSJN menemukan 40 bungkusan dadah pelbagai saiz di ruang tamu rumah tersebut sebelum disahkan mengandungi dadah jenis syabu seberat 39.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.264 juta,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Timpohan Hall, JSJN IPK Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, dadah berkenaan disembunyikan dalam papan pemotong sayur yang diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kita percaya sindiket ini menggunakan taktik penghantaran melalui laut dari Kuala Lumpur ke Sabah dengan menyembunyikan syabu di dalam papan pemotong yang dibelah dua, dibuat ruang khas dan ditutup semula bagi mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis benzodiazepine dan semakan rekod lampau mendapati seorang daripada mereka pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah.
“Kita percaya bekalan ini adalah untuk edaran tempatan dan dadah tersebut dianggarkan mampu digunakan sehingga 160,000 dos dalam sekali penggunaan.
“InsyaAllah, pihak JSJN kontinjen Sabah akan bekerjasama dengan JSJN Bukit Aman bagi mengesan rangkaian sindiket ini,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan.
Jauteh turut menegaskan bahawa kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain akan diperkukuh di semua pintu masuk negeri bagi mengekang cubaan penyeludupan dadah ke Sabah.

