Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, PRK Parlimen Kinabatangan akan melibatkan tiga DUN iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut, manakala PRK DUN Lamag pula hanya tertumpu di kawasan Lamag sahaja.
“Bagi memastikan kelancaran penugasan di lapangan, seramai 837 anggota akan bertugas di ketiga-tiga DUN dan Parlimen, manakala seramai 646 anggota akan ditugaskan khusus untuk penamaan calon,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Khamis.
Beliau menambah bahawa penugasan turut melibatkan kerjasama daripada beberapa IPD berdekatan termasuk IPD Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Semporna serta BTL15 Sandakan bagi menampung kelancaran operasi.
Berhubung isu tular di media sosial mengenai Lamag, beliau menegaskan bahawa kejadian tersebut hanya berlaku di dalam dewan pusat mengundi dan keadaan di luar dewan adalah terkawal oleh pihak PDRM.
Beliau menyeru agar semua parti politik menjaga sensitiviti masyarakat, tidak membangkitkan isu yang boleh mencetuskan provokasi, serta melaksanakan kempen dengan profesional dan tertib.
“Kita mengharapkan masyarakat di kawasan terlibat memberikan kerjasama penuh kepada pihak PDRM dan SPR agar PRK ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden,” tambahnya.
PRK kali ini menetapkan undi awal pada 20 Januari dan pembuangan undi pada 24 Januari ini.
