KOTA KINABALU: Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah pada 2025 dianggarkan seramai 1.04 juta orang, masih belum melebihi paras tertinggi yang direkodkan pada 2018, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan pada 24 Disember lalu, DOSM memaklumkan jumlah penduduk bukan warganegara di Sabah pada 2025 menurun 0.32 peratus berbanding 2024, iaitu daripada 1.0436 juta kepada 1.0402 juta orang.
Katanya, walaupun Sabah kekal sebagai negeri dengan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi dalam tempoh 1991 hingga 2025, angka semasa masih lebih rendah berbanding rekod tertinggi pada 2018 iaitu 1.1587 juta orang.
“Peratusan tertinggi penduduk bukan warganegara di Sabah pernah direkodkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus (453,470 orang), namun jumlah mutlak tertinggi adalah pada 2018,”katanya
Mengulas kesan pandemik COVID-19, DOSM berkata tempoh 2020 hingga 2022 menyaksikan perubahan ketara struktur penduduk apabila bilangan penduduk bukan warganegara di Malaysia dan Sabah menurun, masing-masing kepada 2.56 juta dan 0.78 juta orang pada 2021, berbanding tempoh sebelum pandemik.
"Dari segi taburan daerah, Sandakan merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi pada 2025 dengan 195,100 orang, diikuti Tawau (142,900) dan Kota Kinabalu (125,400).
"Namun, berdasarkan komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus, diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus)," katanya .
DOSM turut memaklumkan kadar pertumbuhan tahunan penduduk bukan warganegara di Kota Kinabalu meningkat kepada 2.9 peratus pada 2025 berbanding 1.64 peratus pada 2024.
"Ia didorong pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan pasca pandemik, termasuk kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa.
“Walaupun mencatatkan peningkatan, jumlah penduduk bukan warganegara di Kota Kinabalu pada 2025 masih lebih rendah berbanding 2018 yang merekodkan 144,700 orang,” katanya.
Menurut DOSM, anggaran penduduk semasa bukan warganegara 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025, berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menggunakan konsep de jure.
Konsep ini, katanya mengambil kira individu yang tinggal atau dijangka tinggal sebagai ahli biasa isi rumah selama enam bulan atau lebih di tempat tinggal biasa, dan tidak mengambil kira daytime serta nighttime population iaitu kehadiran sementara untuk bekerja, berniaga, pendidikan atau urusan harian lain.
