KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan dan memperjuangkan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, bukan sebagai isu politik, tetapi sebagai tanggungjawab undang-undang dan institusi.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, pengaturan perlembagaan yang melibatkan Sabah bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya merupakan kewajipan hidup yang terus membentuk tadbir urus, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam Persekutuan Malaysia.
“Apabila tanggungjawab perlembagaan diabaikan selama beberapa dekad, mahkamah tetap mempunyai kuasa dan tanggungjawaban untuk menguatkuasakan Perlembagaan, kerana Perlembagaan bukan pilihan,” katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2026, di sini, hari ini.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada Oktober tahun lepas telah mengukuhkan prinsip bahawa mahkamah di negara ini bebas dan dipandu oleh undang-undang, bukan oleh tekanan politik atau sentimen awam.
Menurutnya, SLS akan terus memajukan, mempertahankan dan menjelaskan apa yang menjadi hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk dalam aspek pengaturan kewangan dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa SLS akan mengambil peranan lebih proaktif dalam mendidik rakyat Sabah mengenai pengaturan perlembagaan yang membentuk Persekutuan.
“Peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada sejarah perundangan dan realiti semasa Sabah.
“Kerja ini dijalankan melalui jawatankuasa pembaharuan undang-undang, inisiatif penyelidikan dan pasukan tugas advokasi perlembagaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab institusi,” tambahnya.
Beliau menambah, SLS akan menaruh harapan tinggi bagi instistusi ini akan terus berdiri teguh mengharungi cabaran dipandu oleh undang-undang, bukan sentimen atau kemudahan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kedudukan Sabah di peringkat antarabangsa turut diperkukuh apabila negeri ini dipilih menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin Badan Peguam ASEAN 2027 akan datang.
“Bukan sekadar sebagai lokasi penganjuran, tetapi sebagai aktor perundangan serantau yang diyakini untuk menghimpun, menyumbang dan memimpin,” katanya.
