Durian percuma dapat sambutan hangat, Putatan berpotensi jadi pekan durian tahunan - Jamawi

Ihsan: The Malaysian Press

PUTATAN: Penduduk Putatan berpeluang menikmati durian secara percuma menerusi program Hari Terbuka Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan yang dianjurkan buat kali kedua tahun ini, sekali gus mencetuskan suasana meriah dalam kalangan masyarakat setempat.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu memberi pengalaman istimewa kepada masyarakat bandar untuk menikmati raja buah tanpa bayaran, selain memperkukuh potensi Putatan untuk dijadikan sebagai pekan durian tahunan.

“Kalau di Kota Kinabalu, kita ada juga tempat (port) makan durian tetapi berbayar. 

“Di sini, setahun sekali mereka laksanakan program makan durian secara percuma. Ini satu usaha yang sangat baik.

“Putatan bukanlah kawasan penanaman durian, namun dengan adanya aktiviti seperti ini, Putatan sudah menjadi tempat menikmati durian secara percuma di kawasan bandar,”katanya ketika merasmikan program berkenaan, di sini, hari ini. 

Beliau turut memuji inisiatif Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan kerana berjaya melaksanakan program berimpak tinggi walaupun bukan daerah penanaman durian. 

Katanya, kementerian akan mempertimbangkan bantuan tambahan pada penganjuran akan datang supaya lebih ramai masyarakat dapat menikmati raja buah itu.

Mengulas mengenai lambakan durian kampung, beliau berkata penganjuran program makan durian percuma seperti ini membantu petani menjual hasil walaupun harga tidak stabil, di samping memberi manfaat terus kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa program Carnival Kebun Dapur akan dilancarkan pada awal Februari di Tuaran, dengan Putatan menjadi lokasi kedua dalam jelajah kementerian merangkumi semua 25 kawasan Parlimen di Sabah.

“Tujuan utama Kebun Dapur adalah untuk merakyatkan pertanian supaya semua lapisan masyarakat, termasuk yang tinggal di kawasan bandar dan apartmen, dapat terlibat dalam aktiviti menanam dan berkebun,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa usaha turut dijalankan untuk menyediakan pusat pengumpulan dan penjualan hasil pertanian di setiap Parlimen, dengan 16 pusat telah beroperasi dan sembilan lagi dalam perancangan tahun ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama