Pengundi PRK Kinabatangan Disaran Turun Awal Mengundi -SPR

 

KINABATANGAN : Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan disaran keluar mengundi lebih awal pada Sabtu ini bagi mengelak sebarang kesulitan akibat cuaca tidak menentu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata keadaan cuaca yang biasanya memburuk pada waktu petang boleh menjejaskan proses pengundian dan pengangkutan peti undi.

"Pengundi dinasihatkan peka terhadap keadaan cuaca dan keluar mengundi lebih awal. Sebagai langkah proaktif, pusat mengundi di SK Karamuak, Kuamut akan ditutup pada pukul 2 petang berbanding 3 petang sebelum ini.

"Ini bagi memastikan peti undi dapat dibawa keluar seawal mungkin dan mengelakkan kejadian yang berlaku sebelum ini berulang.

"Saya harap penduduk di kawasan tersebut sedar akan perubahan ini," katanya selepas meninjau Pusat Mengundi Awal di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, pada Selasa.

Ramlan memaklumkan keputusan PRK Kinabatangan dijangka diketahui seawal pukul 10 malam bergantung kepada jarak dan keadaan logistik pusat pengundian yang terlibat.

Selain itu, beliau menjelaskan bagi memastikan penduduk keluar menunaikan tanggungjawab dan memastikan proses demokrasi berjalan lancar, pelbagai kaedah dilaksanakan antaranya hebahan melalui media sosial.

"Jadi saya berharap, jangan jemu walaupun kita baru lagi mengundi, terus keluar mengundi pada 24 haribulan nanti," ujarnya.

Seramai 189 pengundi terdiri daripada pegawai dan kakitangan IPD Kinabatangan terlibat dalam proses pengundian awal.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama