Pan Borneo Sabah ‘kisah penantian tak berpenghujung’

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, meluahkan kekecewaan terhadap prestasi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sabah yang disifatkan seolah-olah ‘tidak berpenghujung’.

Menurutnya, lebuh raya yang sepatutnya menjadi nadi kemajuan dan pemangkin pembangunan negeri itu kini lebih menyerupai kisah penantian rakyat yang tidak berkesudahan.

“Ia tidak siap-siap, tersangkut-sangkut, lencong sana-sini, lubang-lubang ditampal-tampal, seperti luka lama yang hanya disapukan bedak, bukan dirawat hingga sembuh,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Matbali berkata, terdapat pakej projek yang sudah dianugerahkan tetapi masih belum bergerak, selain ada yang bermula namun belum menunjukkan tanda akan disiapkan dalam masa terdekat.

Lebih mengecewakan, katanya, masih wujud pakej yang belum dianugerahkan, seolah-olah masa pembangunan di Sabah bergerak lebih perlahan berbanding negeri lain.

Beliau turut membandingkan projek Pan Borneo di Sarawak yang bermula pada tempoh sama tetapi kini sudah siap dan menjadi kebanggaan rakyat negeri berkenaan.

“Sebagai Ahli Parlimen Sipitang, saya mahu penjelasan khusus mengenai status jajaran Sipitang–Beaufort, melibatkan WP01 Sindumin - Melalia dan WP02 Melalia - Beaufort kerana ia urat nadi kehidupan harian rakyat,” katanya.

Selain itu, Matbali turut meminta penjelasan mengenai status projek Jalan Mentulud sepanjang 2.5 kilometer yang sudah diluluskan, namun masih belum bermula.

Beliau juga mengulangi rayuan supaya jalan sepanjang 140 kilometer menghubungkan Sipitang ke Long Pasia dinaik taraf segera, termasuk laluan Sungai Meligan yang menjadi satu-satunya akses ke Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio dan Kampung Iburu.

“Saya merayu kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya serta agensi pelaksana supaya memberi perhatian serius kepada pedalaman Sipitang,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali turut membangkitkan isu banjir berulang di Beaufort yang merekodkan enam kejadian besar sepanjang tahun lalu sehingga ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Beliau menegaskan pengurusan bencana perlu diperkasakan, termasuk penyediaan akses internet stabil di pusat pemindahan, kemudahan jalan keluar masuk kampung, selain menangani kekurangan kenderaan dan sukarelawan ketika bencana.

Katanya, penaiktarafan menara telekomunikasi bagi menyediakan WiFi berkelajuan stabil amat penting supaya komunikasi tidak terputus ketika bencana melanda.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama