KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra dilantik sebagai Pengerusi di bawah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), iaitu Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC), pada Khamis.
Beliau menerima penyerahan tugas itu daripada pengerusi terdahulu, Datuk Jamawi Jaafar, yang kini dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Katanya, komitmen akan diberikan sepenuhnya bagi memastikan anak syarikat di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) itu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri.
“SUDC telah lama melaksanakan tanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan hartanah, selain membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Dengan pelantikan ini, saya akan memastikan syarikat ini terus menjalankan fungsinya sebagai pemaju hartanah utama kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui syarikat itu.
Milek Perkasa ditubuhkan pada 1972 dan ditukarkan pada 25 Ogos 1984 dengan nama SUDC. Dibangunkan bagi mencapai matlamat meningkatkan sektor hartanah, khususnya untuk komuniti usahawan bumiputera tempatan di negeri ini.
