Bung Moktar bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta

KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan berikutan kematian tertuduh, sekali gus menamatkan prosiding yang difailkan sejak 2019.

Allahyarham yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA sebelum ini berdepan pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bagaimanapun, pendakwaan memaklumkan representasi yang dikemukakan balu Allahyarham, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, bagi menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan rasuah yang dihadapinya ditolak dan kes berkenaan masih diteruskan.

Untuk rekod, Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019 dengan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 serta satu pertuduhan memperoleh wang RM337,500, didakwa berkait pelaburan FELCRA dalam unit amanah berkenaan.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 66 tahun akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Disember lalu. 

Dengan keputusan hari ini, Allahyarham secara rasmi bebas daripada semua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama