JKR Sabah uji bahan asfalt baharu tampal lubang jalan

TUARAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menjalankan percubaan penggunaan produk AHNTECH VTX-Super Fiber Reinforced All Weather Cold Mix Asphalt di Jalan Tuaran Bypass bagi menilai keberkesanan bahan baharu itu dalam kerja penyelenggaraan jalan, khususnya ketika musim hujan.

Menurut kenyataan JKR Sabah, percubaan berkenaan dilaksanakan oleh Cawangan Penyenggaraan Jalan dengan penyertaan pelbagai cawangan teknikal termasuk Jalan Raya, Projek Jalan Luar Bandar, Lebuhraya, Cerun, Jambatan serta Trafik dan Pengangkutan.

JKR Sabah memaklumkan, bahan asfalt cold mix berprestasi tinggi itu diperkuat dengan gentian sintetik dan sesuai digunakan untuk kerja tampalan lubang walaupun dalam keadaan permukaan jalan basah atau dipenuhi air, sekali gus membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan tanpa menunggu cuaca kering.

“Penggunaan bahan ini dijangka meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan serta mengurangkan gangguan kepada aliran trafik, terutama ketika hujan berterusan,” menurut kenyataan itu.

Percubaan berkenaan turut disaksikan Pengarah Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Philemon Lajawai dan Timbalan Pengarah Sektor Jalan Raya, Baharuhom K.K. Sogon.

JKR Sabah berkata, hasil penilaian percubaan ini akan dijadikan rujukan sebelum mempertimbangkan penggunaan bahan berkenaan secara lebih meluas dalam kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama