Pelan 25 Tahun LIGS sasar pendapatan pekebun kecil meningkat kepada RM5,000 sebulan

KOTA KINABALU: Pendapatan pekebun kecil getah di Sabah disasar meningkat sehingga RM5,000 sebulan menerusi pelaksanaan Pelan Strategik 25 Tahun Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pelan komprehensif itu dirangka sebagai usaha jangka panjang untuk membantu pekebun kecil keluar daripada kelompok B40 yang ketika ini berpendapatan sekitar RM1,800 sebulan.

“Saya melihat pelan strategik ini melangkaui apa yang saya harapkan sebagai menteri. 

“LIGS bukan lagi bergantung kepada tanaman getah semata-mata, tetapi sudah menceburi ladang padi, nenas, durian Musang King, madu dan pelbagai tanaman tambahan lain,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Strategik LIGS 20250 (V50)  yang bertempat di Wisma Pertanian, di sini, hari ini. 

Hadir sama, pembantu menteri pertanian, perikanan dan industri makanan, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding. 

Jamawi berkata, usaha mempelbagaikan tanaman itu akan memberi peluang kepada pekebun kecil menjana pendapatan sampingan selain aktiviti menoreh yang biasanya dilakukan pada sebelah pagi.

“Kita tahu, dalam industri getah, kebiasaannya penoreh bekerja awal pagi hingga sekitar jam 10 atau 11 sahaja. 

“Pada sebelah petang mereka masih mempunyai masa untuk mengusahakan tanaman lain, sekali gus menambah pendapatan isi rumah,” jelasnya. 

Beliau berkata, kerajaan sedar cabaran utama pendapatan pekebun kecil turut dipengaruhi oleh harga getah dunia yang tidak menentu.

“Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Bantuan Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) diwujudkan bagi meringankan beban mereka.

“Buat masa ini, BKNS menyediakan bantuan kira-kira 50 sen sekilogram bagi getah beku, manakala 25 sen sekilogram bagi getah kentalan skrap,” ujar beliau. 

Jamawi turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berbincang dengan pengurusan LIGS untuk menyediakan kertas kabinet bagi menambah mekanisme sokongan kepada pekebun kecil.

“Kita membantu mereka bukan sahaja daripada subsidi, tetapi mungkin ada produk-produk lain yang boleh kita meningkatkan pendapatan sampingan pekebun-pekebun kecil getah,”tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama