Pendidikan percuma bakal diperluas ke sekolah milik kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi bayangan agenda pendidikan percuma di negeri ini tidak akan terhad kepada institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri pada masa akan datang.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata, pendidikan percuma berpotensi diperluaskan ke sekolah di bawah pentadbiran negeri termasuk sekolah menengah agama negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, pelaksanaan pendidikan percuma yang menjadi sebahagian manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini memberi keutamaan kepada IPT milik kerajaan negeri sebagai fasa permulaan.

“Kerajaan negeri mempunyai aspirasi untuk memperluaskan manfaat itu kepada institusi pendidikan lain di bawah bidang kuasa negeri.

“Setakat ini kita mulakan dengan IPT milik kerajaan negeri, tetapi sasaran seterusnya ialah sekolah-sekolah milik negeri termasuk sekolah menengah agama negeri, dan ini kita lihat sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media hala tuju pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Azrul berkata, keyakinan kerajaan negeri untuk meluaskan inisiatif berkenaan didorong unjuran peningkatan hasil negeri yang dijangka meningkat bermula tahun ini hasil pelaksanaan agenda strategik SMJ 2.0.

Menurutnya, Sabah menyasarkan hasil negeri mencecah RM10 bilion menjelang 2030 berbanding kutipan semasa sekitar RM7 bilion.

“Pertambahan hampir RM3 bilion berbanding kutipan semasa itu realistik mengambil kira perkembangan sektor minyak dan gas, potensi penerokaan sumber mineral serta kestabilan politik yang ada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan hasil itu akan memberi ruang kepada kerajaan negeri memperkukuh pelaburan dalam sektor pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan Sabah.

“Hasrat kerajaan negeri ialah memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses secara lebih menyeluruh tanpa membebankan rakyat, dan pendidikan percuma ini antara komitmen penting ke arah itu.

“Langkah berkenaan selari dengan matlamat SMJ 2.0 yang menekankan pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat serta masa depan generasi muda Sabah,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama