Pemuda Gagasan Rakyat perkukuh peranan bantu rakyat

 

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) komited memperkukuh peranan sebagai barisan hadapan membantu rakyat dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu asas termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya di negeri ini.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, gerak kerja sayap parti itu akan terus diperkasa melalui pendekatan turun padang serta pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Sabah (PRU Sabah) lalu membuktikan kekuatan jentera pemuda yang bergerak secara tersusun dan dekat dengan masyarakat.

“Dengan semangat kebersamaan serta fokus kepada agenda rakyat, kita yakin Pemuda Gagasan Rakyat mampu memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kepimpinan parti dan memastikan pembangunan negeri dapat dirasai rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Gagasan Rakyat di Pejabat Parti Gagasan Rakyat Alamesra, di sini, hari ini.

Azrul berkata, pendekatan pemuda parti kini lebih tertumpu kepada sesi libat urus dan pemantauan di lapangan bagi memastikan isu di peringkat akar umbi dapat disampaikan terus kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Pemuda Gagasan Rakyat turut menubuhkan Sekretariat GAHMUDA (Gagah Muda) sebagai pasukan sukarelawan belia yang terbuka kepada semua golongan muda termasuk bukan ahli parti.

Katanya, GAHMUDA akan menjadi barisan hadapan membantu masyarakat ketika berdepan situasi kecemasan seperti banjir, kebakaran serta membantu keperluan komuniti termasuk urusan pengurusan jenazah.

Pada masa sama, Azrul menegaskan Pemuda Gagasan Rakyat menyokong pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi fasa baharu pembangunan negeri dengan penekanan kepada pengukuhan asas ekonomi dan kesejahteraan rakyat di bandar serta luar bandar.

Beliau turut menegaskan komitmen parti untuk terus mempertahankan hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan tadbir urus negeri dilaksanakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama