Dua wanita ditahan beri maklumat palsu mohon kad pengenalan

TAWAU: Dua wanita ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah di Tawau, Selasa lalu kerana disyaki memberikan maklumat palsu berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri.

Berdasarkan kenyataan Facebook rasmi JPN Sabah, berkata tangkapan pertama, seorang wanita tempatan dicekup pada jam 12 tengah hari di pejabat JPN Daerah Tawau selepas disyaki memberikan maklumat palsu sebagai pemohon untuk Daftar Lewat Kad Pengenalan.

Manakala tangkapan kedua membabitkan seorang wanita warga emas, yang ditahan pada jam 2 petang di lokasi sama kerana dipercayai mengaku sebagai ibu semasa permohonan kad pengenalan dibuat di JPN Daerah Kinabatangan.

Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

JPN Sabah menegaskan tindakan tegas ini adalah sebahagian daripada usaha mereka memperkukuh integriti sistem pendaftaran negara. 

Pegawai JPN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pemalsuan maklumat atau penipuan dokumen rasmi demi keselamatan dan kedaulatan sistem pengenalan diri negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama