JPANS Tingkat Integriti Ke Arah Pensijilan MS ISO 9001:2015, ABMS 37001:2025

 

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) kini berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata penjawat awam perlu sentiasa berdisiplin dan berintegriti kerana perkhidmatan awam mesti terus diperkasa bagi menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara berterusan.

"Usaha mendapatkan pensijilan berkenaan merupakan langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan serta pentadbiran.

“Kerajaan negeri komited untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin. Perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yang diwakili serta boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.

“Seruan ini bukan sahaja ditujukan kepada agensi perkhidmatan awam, malah turut melibatkan semua kakitangan Badan-Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya ketika  Majlis Amanat Ketua Menteri Sabah Kepada Penjawat Awam Di Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0, pada Jumaat.

Di samping itu, Hajiji menegaskan penjawat awam adalah rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dengan menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

“Perkhidmatan awam juga tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan. Kerajaan boleh bertukar ganti dan dasar boleh berubah, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan sekiranya mana-mana kakitangan awam negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan sesuatu pertugasan dengan berkesan, agar memaklumkan pihak atasan bagi pertimbangan penempatan semula demi kepentingan rakyat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama