KINABATANGAN:
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menetapkan tempoh
kelulusan pembiayaan kepada usahawan hanya dalam masa lima hari bekerja.
Timbalan
menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata langkah itu diambil bagi mengatasi
rungutan usahawan yang berdepan proses kelulusan pembiayaan yang terlalu lama.
"Kita
mendengar rintihan usahawan dan bersetuju proses kelulusan lima hari bekerja,
dengan syarat dokumen perlu lengkap barulah semua dokumen itu kita wujudkan
perkongsian data di peringkat kementerian.
"Apabila
data sudah ada, pemohon tidak perlu menghantar semula maklumat setiap kali
memohon pembiayaan baharu," katanya kepada media selepas merasmikan
Program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) di KOPEL Kinabatangan, pada
Rabu.
Beliau
berkata, program berkenaan dianjurkan bagi membantu golongan B40 mendapatkan
barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
"Inisiatif
ini turut membuka peluang kepada koperasi dan usahawan tempatan memasarkan
produk masing-masing.
"Insya-Allah
kita bersama-sama dengan banyak agensi di bawah KUSKOP akan menganjurkan
pelbagai lagi program bagi mendekati peringkat akar umbi," ujarnya.
Dalam
majlis berkenaan, sebanyak RM11 juta dana pembiayaan disalurkan kepada KOPEL
Kinabatangan bagi membantu pengembangan operasi dan perolehan aset.
Hadir
sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Rahman Mohd Din,
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad
Norihan Jalan, Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan
Pengarah Bahagian Operasi Amanah Ikhtiar Malaysia Negeri Sabah, Mohd Khairul
amri Amihamzah.
