KINABATANGAN :
Agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus
berganding bahu memperkasakan kebajikan dan pendidikan rakyat.
Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak tiga
tahun yang lalu pelbagai perubahan telah dilakukan bersama dengan kepimpinan
KKDW dan juga kepimpinan agensi-agensi.
"Perubahan-perubahan
ini dilakukan adalah untuk menyantuni dan juga mendepani masalah kumpulan
sasaran.
"Tiga
agensi utama di bawah kementerian itu iaitu FELCRA Berhad, RISDA dan Majlis
Amanah Rakyat (MARA) berganding bahu melaksanakan inisiatif tanggungjawab
sosial korporat (CSR) secara menyeluruh," katanya ketika berucap semasa
Program Santuni Rakyat KKDW yang diadakan di Dataran Pekan Kota Kinabatangan,
pada Khamis.
Beliau yang
juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah memaklumkan program tersebut memberi
penekanan kepada aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan
prasarana asas sebagai pendekatan bersepadu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Pendekatan
pembangunan luar bandar hari ini tidak boleh tertumpu kepada aspek fizikal dan
ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu bersifat holistik dengan menitikberatkan
kesejahteraan rakyat, akses pendidikan dan kebajikan sosial.
"Program
KKDW Santuni Rakyat di Kinabatangan membuktikan kehadiran kerajaan melalui
tindakan yang nyata, menyentuh keperluan sebenar rakyat di lapangan serta
memastikan tiada komuniti luar bandar yang tercicir daripada arus pembangunan
negara," ujarnya.
Antara
sumbangan utama yang disampaikan ialah Bantuan Program Premis Perniagaan FELCRA
2026 (RM100 ribu), Bantuan Program Industri Desa FELCRA 2026 (RM20 ribu), Program Sumbangan Inisiatif Pendidikan
Generasi FELCRA (RM 41,600) kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) dan Inisiatif Pembangunan Insan FELCRA Berhad Negeri Sabah berjumlah
RM340 ribu.
Turut
disampaikan, Sumbangan CSR Tangki Air Biru RISDA berjumlah RM294 ribu,
Sumbangan 600 bakul makanan Yayasan RISDA bernilai RM60 ribu, Bantuan Prasarana
Asas Pertanian RISDA Kampung Sungai Lokan sebanyak RM249,454 dan RM 60 ribu
bagi Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang memanfaatkan 600
pelajar B40.
Hadir sama,
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin dan
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
