PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan perubahan besar dalam landskap pendidikan negara apabila pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala kemasukan ke Darjah Satu ditetapkan pada usia enam tahun bermula tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pembaharuan menyeluruh sistem pendidikan selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan minda kanak-kanak masa kini.
Menurut Anwar, pelaksanaan tersebut bagaimanapun belum diwajibkan sepenuhnya kepada ibu bapa, khususnya bagi tahun-tahun awal pelaksanaannya.
“Maknanya, pada 2027 kita belum bersedia untuk mewajibkan sepenuhnya kerana masih ada ibu bapa yang merasakan anak-anak mereka belum bersedia.
“Namun, kita menetapkan bahawa kanak-kanak berusia tujuh tahun masih boleh memasuki Darjah Satu, tetapi ibu bapa sangat digalakkan untuk membuat persediaan lebih awal supaya anak-anak berumur lima tahun sudah berada di prasekolah dan memasuki Darjah Satu pada usia enam tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026 - 2035 di sini, hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan realiti semasa yang menyaksikan kanak-kanak hari ini lebih cepat matang serta mampu memahami dan membezakan sesuatu perkara pada usia lebih muda berbanding generasi terdahulu.
“Dahulu, umur tujuh tahun baharu layak masuk Darjah Satu. Tetapi hari ini, pada usia lima tahun, kanak-kanak sudah menunjukkan tahap kematangan yang berbeza,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan penuh terhadap penambahbaikan sistem prasekolah negara dengan penyelarasan secara menyeluruh di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kita mahu sistem prasekolah ini diselaraskan sepenuhnya. Sebab itu saya minta KPM mengambil alih dan menyusun semula pendekatan secara lebih sistematik,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan termasuk kemudahan asas, latihan guru dan keperluan sokongan akan disegerakan bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar.
“Saya arahkan mulai sekarang, setiap pengumuman mesti disusuli tindakan pantas oleh kementerian berkaitan bagi memastikan kemudahan asas ditambah dan kesiapsiagaan dipertingkat,” katanya.
