Cubaan redah banjir bertukar tragedi, seorang maut tiga lagi selamat

Mayat mangsa ditemukan jam 7.15 pagi ini oleh seorang pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian. Foto | Ihsan Bomba

TAWAU : Hajat empat lelaki untuk meneruskan perjalanan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka terkorban selepas dihanyutkan arus banjir yang deras dalam kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua motosikal di Kampung Sungai Udin, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.34 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 45 kilometer.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang membawa dua motosikal dipercayai cuba melalui jalan raya yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus banjir yang deras.

“Seramai empat mangsa terbabit, iaitu dua lelaki berada di dalam kenderaan pacuan empat roda dan dua lagi merupakan penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan berkenaan.

“Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi mangsa lelaki lingkungan usia 30-an dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 27 dan 23 tahun yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda serta seorang penunggang motosikal lelaki disahkan selamat.

Menurut Jemishin, pasukan bomba dari BBP Tawau dengan kekuatan lapan anggota, dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan PBS Umas, tiba di lokasi kejadian pada jam 10.47 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi SAR dilakukan menggunakan kaedah pencarian permukaan di sepanjang tebing sungai dengan radius kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut.

“Mangsa ditemukan pada jam 7.15 pagi ini oleh seorang pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar oleh pasukan bomba menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama