KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja mengecat rumah dalam kejadian di Kampung Likas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah termasuk melecur dan putus pergelangan tangan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.03 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat rumah.
“Mangsa mengalami kecederaan terbakar dan putus pergelangan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi,” katanya.
