MA63 amanah sejarah, bukan sekadar tuntutan - Mustapha

 

KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal menjadi asas penting dalam memahami pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah sebagai rakan pengasas negara, selari dengan perjuangan tokoh kemerdekaan negeri, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata penghayatan terhadap MA63 wajar diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda supaya sejarah sebenar pembentukan negara tidak dilupakan.

“Perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan Sabah, termasuk Allahyarham Tun Datu Mustapha, amat besar maknanya, namun masih belum difahami sepenuhnya oleh generasi hari ini. Sejarah ini perlu diangkat dan difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan rasmi ke Taman Memorial Tun Datu Mustapha, di sini, yang turut disertai majlis bacaan Yasin dan doa khas bagi mengenang jasa Allahyarham.

Menurut Mustapha, pelancaran Pelan Pendidikan Negara memberi ruang untuk memperkukuh penghayatan sejarah kemerdekaan, termasuk peranan Sabah dalam pembentukan Malaysia, agar dapat dimasukkan dalam silibus pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan daripada 29 perkara tuntutan MA63, sebanyak 13 perkara sudah diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam proses rundingan antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, satu papan pemuka (dashboard) khas MA63 akan dilancarkan di Parlimen pada 28 Januari ini bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan rundingan dan pelaksanaan MA63 secara telus.

“Isu utama yang kini diberi tumpuan ialah formula 40 peratus hasil Sabah yang masih berada dalam fasa rundingan, melibatkan tafsiran perlembagaan serta persetujuan bersama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Insya-Allah, saya sendiri akan memastikan perkara berkaitan formula 40 peratus ini dapat diselesaikan melalui rundingan dengan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan usaha memperkasa MA63 bukan sekadar agenda pentadbiran, sebaliknya satu amanah sejarah untuk memastikan keadilan dan keseimbangan dalam Persekutuan Malaysia, selaras dengan semangat pembentukan negara pada 1963.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama