TAWAU: Tindakan tiga lelaki menyerang seorang pengawal keselamatan di sebuah premis carwash di Jalan Chong Thien Vun, di sini, tahun lalu, berakhir dengan penahanan mereka oleh polis semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun serta dua lelaki warga asing masing-masing berusia 30-an dan 18 tahun.
Menurutnya, tangkapan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira jam 12 tengah hari di kawasan tepi premis berkenaan berhampiran sebuah pasar raya.
“Kejadian berlaku pada 6 November lalu kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa berusia 19 tahun menghantar keretanya untuk dicuci sebelum meminta kebenaran mencuci sendiri.
"Seorang pekerja carwash bertindak menumbuk mangsa sebelum dua lagi rakannya turut menyerang, menyebabkan mangsa cedera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, semakan rekod mendapati suspek lelaki tempatan mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, manakala dua lagi suspek warga asing tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis demi keselamatan awam di daerah ini," katanya
