PUTATAN: Enam buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ketiau, di sini, awal pagi tadi, namun tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.48 pagi.
Katanya, seramai 37 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam dan menyelamatkan mangsa.
"Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kebakaran melibatkan enam rumah pelbagai saiz dan binaan, termasuk jenis tidak kekal dan separuh kekal terbakar 100 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.24 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 10.59 pagi selepas pasukan memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan serta sumber air daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT), jentera tangki air dan sumber air terbuka berhampiran, termasuk sungai.
“Walaupun enam rumah musnah, pasukan bomba berjaya menyelamatkan tujuh rumah berhampiran serta sebuah kenderaan jenis Proton Saga daripada turut terbakar,” katanya.
Noor Sherriyana berkata, tiada mangsa terlibat dan kebakaran tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya

