DBKK roboh struktur tidak selamat dan tanpa kelulusan di Sembulan mula Januari ini

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur tanpa kelulusan di kawasan Sembulan bermula awal Januari ini. 

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu turut melibatkan struktur yang usang, tidak selamat untuk didiami serta tamat tempoh pajakan.

“Pihak mayor DBKK yang membuat pemeriksaan dan pemantauan berterusan mendapati wujud penempatan dan struktur tanpa kelulusan yang melanggar undang-undang kecil selain berada dalam keadaan tidak selamat, kotor dan tidak teratur.

“Kawasan terlibat juga dikenal pasti sebagai antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di daerah Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam,” katanya.

Hasil bancian dan pemeriksaan mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang dibina tanpa mengikut piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan, kebakaran serta pencemaran alam sekitar

“Bancian merekodkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara menyewa di kawasan berkenaan, dengan sebahagian besar terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah.

“Selain itu, DBKK turut menerima rungutan daripada penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan di kawasan berkenaan,”jelasnya. 

Sementara itu, DBKK turut memaklumkan bahawa pelaksanaan  tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar Sembulan (Sembulan Renewal Scheme) yang bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar, keselamatan serta kesejahteraan penduduk. 

Sebagai langkah awal, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan bancian penduduk dan struktur di kawasan terlibat dari 8 hingga 12 Disember 2025, diikuti dengan bancian pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan dan kebersihan.

“Notis pengosongan, perobohan dan pengalihan turut dikeluarkan kepada pihak terlibat dari 18 hingga 22 Disember 2025 sebagai pemakluman awal, dengan tempoh munasabah diberikan bagi pengosongan secara sukarela serta perobohan sendiri struktur tanpa kelulusan,’ tambahnya. 

DBKK menegaskan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan, termasuk menduduki semula kawasan atau mendirikan struktur baharu tanpa kelulusan, akan diberikan tindakan tegas termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama