TAWAU: Padah bertindak mengamuk serta mengancam penduduk kampung, seorang lelaki tempatan dicekup polis dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) berhubung seorang individu bertindak agresif di kawasan berkenaan.
"Hasil tindakan pantas anggota peronda dengan bantuan dua lagi kenderaan MPV, suspek berjaya ditahan tanpa sebarang insiden lebih serius berlaku.
“Semakan melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan kes penipuan yang dilaporkan di Putatan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan semasa kejadian, termasuk pemutar skru, bilah pisau pemotong kertas, bilah gunting serta sebatang besi, yang semuanya dirampas untuk siasatan.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sekiranya berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menghubungi pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi keselamatan awam.

