KOTA KINABALU: Sebanyak 16 kategori anugerah akan dipertandingkan pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari depan di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini.
Perkara itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika beliau menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Kunjungan tersebut diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan yang turut menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat berhubung penganjuran majlis berprestij itu.
Menurut Nizam, penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah yang diadakan dua tahun sekali itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk penyampaian Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.
Sementara itu, Hajiji merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia dan berjaya menyumbang keseluruhan 10 pingat emas, 15 perak dan 15 gangsa pada Sukan PARA ASEAN (APG) Ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 21 hingga 26 Januari 2026.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang sukan secara serius.
Dalam temasya itu, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa bagi acara renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa dalam acara ping pong; serta masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (Demo Sukan).
Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga. Atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee, turut mencipta rekod baharu APG apabila merangkul emas acara lompat jauh lelaki T12 dengan lompatan sejauh 6.83 meter.
Turut hadir pada kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Haji Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Encik Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Encik Mohd Asneh Mohd Noor; serta Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Encik Terrance Edward Pudin.
