KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, membuat lawatan rasmi ke beberapa premis sukan termasuk Kompleks Sukan Likas, Penampang dan Arena Belia Kepayan bagi meninjau sendiri isu keadaan fasiliti sukan yang sebelum ini tular.
Katanya, Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih fasiliti sukan di kompleks berkenaan yang sedang dilaksanakan.
“Saya mahu melihat sendiri keadaan fasiliti sukan ini supaya sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan tindakan yang sewajarnya dapat diambil.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Setiausaha Tetap kementerian serta pihak pembangunan sukan menyediakan laporan terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Likas, di sini, pada Khamis.
Beliau menjelaskan langkah itu penting bagi memastikan semua kemudahan sukan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat, dan berkualiti, bagi kegunaan atlet serta orang awam.
Mengulas isu tular berkaitan keadaan bumbung dan kebocoran, Nizam menegaskan bahawa kerja baik pulih sedang dijalankan.
“Pihak yang menularkan video berkenaan tidak mengetahui bahawa kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan.
“Mungkin kerana tidak merujuk kepada pihak pengurusan kompleks, mereka merakam dan menyiarkan rakaman tersebut tanpa menyedari kerja pembaikan bumbung sedang berjalan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan daripada konsultan yang dilantik menunjukkan kerja-kerja pembaikan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sebelum langkah pembaikan menyeluruh terhadap kebocoran dilaksanakan.
Nizam menambah bahawa pihak pengurusan lembaga sukan telah mengadakan perbincangan bersama persatuan berkaitan, termasuk persatuan gimnastik, bagi memastikan isu itu dapat diatasi dengan segera.
“Isu ini berada di bawah pemantauan kami dan tindakan telah pun dilaksanakan. Kekeliruan timbul apabila maklumat tidak dirujuk kepada pihak pengurusan.
“Kerja-kerja pembaikan sebenarnya sedang berjalan. Saya telah mengarahkan pihak terlibat supaya melaksanakan kerja dengan sebaik mungkin dan menyiapkannya mengikut jadual yang telah ditetapkan, tanpa sebarang kelewatan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa fasiliti lain, termasuk Dewan Serbaguna Kompleks Likas telah disasarkan siap sepenuhnya dalam tahun ini.


