Ewon Benedick dilantik Pengerusi K.K.I.P. Sdn Bhd

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, dilantik sebagai Pengerusi K.K.I.P. Sdn. Bhd., syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah.

Pelantikan beliau disahkan melalui Facebook rasmi K.K.I.P. Sdn. Bhd., yang turut menzahirkan ucapan tahniah dan harapan agar kepimpinan Ewon dapat membawa syarikat itu ke arah pertumbuhan berterusan, kelestarian serta sumbangan lebih besar kepada pembangunan perindustrian Sabah.

Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian, sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi persekutuan sebelum meletak jawatan pada November 2025. 

Beliau juga pernah memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, membawa pengalaman luas dalam pembangunan usahawan, koperasi dan sektor luar bandar.

K.K.I.P. Sdn. Bhd. berperanan sebagai agensi utama kerajaan negeri dalam merancang, membangun dan menyelia Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) taman perindustrian utama di Sabah yang menjadi tumpuan pelabur domestik dan antarabangsa serta pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Pelantikan Ewon dijangka memberi perspektif baharu dalam memperkukuh strategi pelaburan, pembangunan infrastruktur industri dan inovasi teknologi di Sabah.

Ia selari dengan visi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor perindustrian serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi berkualiti.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama