Bapa tiri kantoi rakam video sulit ahli keluarga

TAWAU: Perbuatan jijik seorang bapa tiri akhirnya kantoi apabila ditahan polis selepas disyaki merakam video secara sulit terhadap ahli keluarganya di bilik air rumah mereka di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, Ahad lepas. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui telefon bimbit disorokkan di dalam tandas dalam keadaan sedang merakam sebelum menyerahkannya kepada ibunya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas telefon bimbit itu menemukan beberapa rakaman mengaibkan membabitkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air.

“Suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan pada hari sama laporan dibuat. 

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat 10 klip video disimpan dalam telefon berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.

Jasmin memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mencabul privasi dan melakukan perbuatan tidak bermoral, lebih-lebih lagi membabitkan ahli keluarga sendiri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama