MTHQ Perkukuh Syiar Islam, Satukan Ummah Melalui Al-Quran – Shahelmey

 

Shahelmey ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Daerah Putatan.

PUTATAN : Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) menjadi wadah penting menyemarakkan syiar Islam dengan membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan bersatu padu.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata penganjuran program tersebut seiring dengan objektifnya iaitu menjadikan majlis MTHQ sebagai medan ilmu dan pengukuhan perpaduan ummah.

"Ini merupakan wadah penting untuk menyemarakkan syiar Islam, memperkukuhkan kecintaan terhadap Al-Quran serta menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Memperkukuh kecintaan umat islam terhadap Al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya sebagai panduan hidup maka lahirlah masyarakat yang berakhlak, berdisiplin, bersatu padu serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu khususnya di daerah Putatan ini dalam melahirkan masyarakat yang cintakan Al-Quran sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian," katanya ketika berucap semasa majlis perasmian Majlis Tilawah dan hafazan Al-Quran Peringkat Daerah Putatan, pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, program itu merupakan peringkat awal dalam rangkaian pelaksanaan MTHQ Negeri Sabah sebelum diteruskan di peringkat bahagian, negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan.

“Program ini juga menjadi platform untuk memilih qari, qariah, hafiz dan hafizah terbaik bagi mewakili daerah Putatan ke peringkat seterusnya," ujarnya.

Shahelmey turut  berharap agar para peserta yang terpilih bukan sahaja mempunyai kemahiran bacaan dan hafazan yang cemerlang, malah mampu menjadi duta Al-Quran serta membawa imej Islam yang mulia dan menjadi contoh kepada masyarakat.

Untuk rekod, Johan Qari MTHQ peringkat daerah Putatan disandang oleh Nashraf Ideen Nahar, manakala Johan Qariah MTHQ ialah Pangiran Dg Saliah  Awang Salleh. Kedua-duanya akan mewakili daerah Putatan ke MTHQ peringkat Bahagian Pantai Barat Selatan yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 12 Januari 2026 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.

Hadir sama, Adun Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Petagas,  Shamsur Zulkifli mewakili Adun Petagas, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MTHQ Putatan 2026, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS, Aisah Ohdin dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama