Kanak-kanak maut, motosikal langgar pacuan empat roda di Batu 2 Tawau

 

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut, manakala dua lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Batu 2, Jalan Apas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi, dengan kemalangan dipercayai berlaku pada jam 5.36 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Husky 150 SE.

“Motosikal itu ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dengan dua anak lelakinya sebagai pembonceng, masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun yang dalam perjalanan dari Bandar Tawau menghala ke Pekan Kunak.

“Pemandu pacuan empat roda pula seorang wanita berusia 63 tahun yang bergerak dari kediamannya di Jalan Pantai menuju ke Pasar Sin On,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, setibanya pacuan empat roda berkenaan di lokasi kejadian, lampu isyarat ketika itu berwarna hijau dan kenderaan terbabit sudah memasuki simpang Jalan Bunga Raya.

“Secara tiba-tiba, motosikal yang datang dari arah bertentangan dan dipercayai ditunggang dengan laju telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri pacuan empat roda berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu pacuan empat roda hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan, melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang diparkir dan seterusnya merempuh masuk ke sebuah kedai gunting rambut,” katanya.

Beliau berkata, pembonceng motosikal berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Wad Kecemasan Hospital Tawau.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan perut, manakala seorang lagi pembonceng hanya cedera ringan. Pemandu pikap pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut Jasmin, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu atau menunggang kenderaan dengan berhemah, khususnya ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat.

“Pengguna jalan raya perlu memperlahankan kenderaan, peka terhadap perubahan lampu isyarat serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan orang lain,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama