Mohd Lan Muslim dilantik CEO baharu SCENIC

KOTA KINABALU: Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) melantik Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, sekali gus menandakan fasa pengukuhan dalam usaha memperkasa landskap ekonomi kreatif dan inovasi di negeri ini.

Mohd Lan berkata, keutamaan awal beliau adalah untuk memposisikan SCENIC sebagai pemudah cara praktikal kepada agenda ekonomi kreatif dan inovasi, selaras dengan mandat Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (MESTIS).

Menurutnya, meskipun SCENIC telah aktif menyokong pembangunan ekonomi kreatif Sabah sejak 2020, ekosistem tersebut masih berada pada peringkat awal berbanding negeri atau negara yang memiliki ekonomi kreatif lebih matang.

“Keadaan ini membuka peluang besar untuk pertumbuhan yang lebih tersusun dan berstruktur, khususnya dalam memastikan kreativiti dan inovasi diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi sebenar,” katanya.

Mohd Lan yang memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam sektor kewangan dan perkhidmatan awam sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Negeri Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Wilayah Sabah dan Labuan.

Beliau turut menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi Kreatif Sabah pertama pada April yang lepas sebagai pencapaian penting dalam menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam memperkukuh kerjasama dan memacu potensi kreatif negeri.

Mengulas hala tuju SCENIC selepas tamat Pelan Lima Tahun (2020–2025), beliau berkata tumpuan kini diberikan kepada pemantapan pelaksanaan di peringkat lapangan, di samping merangka strategi jangka panjang bagi tempoh sedekad akan datang.

“Keutamaan akan diberikan kepada inisiatif yang mampu menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta menggalakkan pembangunan perusahaan dalam sektor kreatif,” jelasnya. 

Dalam pada itu, di peringkat nasional, beliau berkata industri kreatif Malaysia kini semakin dipacu oleh keperluan pasaran dan industri, dengan penekanan terhadap pemilikan harta intelek (IP), pertumbuhan perusahaan dan profesionalisasi.

“SCENIC, akan terus berperanan sebagai platform penghubung antara pemain industri kreatif, dewan perniagaan, institusi pendidikan serta rakan strategik di peringkat negeri, Persekutuan dan antarabangsa.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada golongan belia, penggiat kreatif awal kerjaya, pekerja bebas, pengusaha kecil serta komuniti di luar kawasan bandar,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama