KOTA KINABALU: Inisiatif Dapur Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform penting dalam menjamin akses makanan asas kepada kira-kira 3,500 pelajar, di sini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, program tersebut telah melibatkan dua kolej kediaman utama iaitu Kolej Tun Fuad dan Tun Mustapha.
“Mereka akan menyediakan keperluan makanan kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya di dua kolej kediaman iaitu Kolej Tun Fuad yang menempatkan kira-kira 1,600 pelajar serta Kolej Kediaman Tun Mustafa dengan seramai 1,800 pelajar, menjadikan keseluruhan sekitar 3,500 pelajar menerima manfaat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Dapur Siswa Kolej Kediaman Tun Mustapha UMS, hari ini.
Menurut beliau, inisiatif dapur siswa yang diperkenalkan UMS adalah satu usaha yang baik, khususnya dalam membantu pelajar dari luar bandar yang berdepan kekangan kewangan.
“Program ini amat baik terutama untuk pelajar dari luar bandar yang mempunyai kekangan kewangan.
“Sebagai contoh, harga sebungkus nasi ketika ini sudah mencecah RM2, dan bayangkan jika keadaan itu terpaksa dihadapi setiap hari oleh pelajar yang kurang berkemampuan.
“Sekurang-kurangnya mereka mempunyai akses kepada makanan asas setiap hari.
“Di samping itu, pelajar juga dibenarkan membawa bahan mentah sendiri sebagai lauk, sekiranya mereka berkemampuan atau berkeperluan,”jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta sama ada dalam bentuk bahan mentah atau sumbangan kewangan bagi memastikan program itu terus dilaksanakan.
“Sebagai sokongan awal, saya telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 bagi menjayakan inisiatif berkenaan,”tambahnya.

