TAWAU: Tindakan seorang menantu bertindak agresif sehingga mengugut bapa mentuanya dengan pedang samurai nyata mengejutkan penduduk Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila suspek utama bersama adik lelakinya datang ke rumah mangsa sebelum bertindak mengamuk dan mengeluarkan ugutan.
Menurutnya, suspek utama berusia 39 tahun memegang pedang samurai manakala adik lelakinya membawa parang, sekali gus menimbulkan ketakutan kepada mangsa berusia 63 tahun.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila isteri suspek utama yang juga anak perempuan mangsa ingin bermalam di rumah bapanya, namun tindakan itu tidak dipersetujui suspek sebelum berlaku pertengkaran.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar.
Jasmin berkata, suspek utama mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan ugutan dan pecah masuk, manakala adik lelakinya berusia 27 tahun dan tiada rekod jenayah.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang ugutan, keganasan atau penggunaan senjata yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan pertelingkahan keluarga melalui saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis jika berdepan situasi berbahaya,” katanya.
