UPKO sokong Reform Nasional, mahu kepentingan Sabah dijadikan teras utama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan sokongan penuh terhadap agenda ‘Reform Nasional’, namun menegaskan bahawa segala pembaharuan mesti meletakkan kepentingan Sabah sebagai teras utama. 

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata reform nasional tidak boleh dilaksanakan secara umum tanpa mengambil kira hak, keperluan dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Agenda reform nasional ini juga mesti mencakupi kepentingan Sabah. 

“UPKO akan terus berjuang mendapatkan representasi di Dewan Rakyat tidak kurang daripada satu pertiga jumlah kerusi Parlimen dan pelaksanaan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika berucap pada Pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Beliau turut menyokong pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal maksimum Perdana Menteri dan Ketua Menteri. 

“Saya juga menyokong keputusan - keputusan berkaitan penyasaran semula subsidi - subsidi kerajaan.

“Kita juga menyokong pengujudan perundangan pendanaan parti politik, pemisahan tugas Peguam Negara (Attorney General) dan Pendakwa Raya (Public Prosecutor), semakan ke atas perundangan- perundangan lapuk dan inisiatif- inisiatif pendigitalan jentera penyampaian kerajaan,” jelasnya. 

Namun, Ewon menegaskan bahawa reform nasional juga mesti merangkumi penyelesaian berkesan terhadap isu yang sering berlaku di Sabah. 

“Tangani isu pendatang asing, jaminan perlembagaan kepada masyarakat Orang Asal Malaysia termasuk Momogun dan Orang Asli, serta peningkatan ketelusan dan kecekapan sistem pilihan raya negara.

“Kita mahu agenda reform nasional ini berasaskan kepada MA63, menghormati sistem perundangan dan eksekutif Sabah dan Sarawak, serta memastikan hak dan kepentingan negeri tidak terpinggir,” tambahnya.

Beliau turut menambah bahawa pelaksanaan hak 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah perlu dijadikan agenda reform utama kerana ia menjadi pembolehubah kepada pelbagai keperluan pembangunan negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama